Memaparkan catatan dengan label hindu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label hindu. Papar semua catatan

Jumaat, 8 Februari 2013

Anandabhadram

Dalam sebuah kampung dikenali sebagai Sivapuram, seorang budak lelaki bernama Ananda duduk tekun mendengar kisah yang disampaikan oleh ibunya, Gayatri. Kisahnya berkisar tentang keturunan keluarga mereka yang datang dari keturunan pengamal ilmu kebatinan. Mereka mengamalkan ilmu kebatinan dengan tekun dan bertanggungjawab menjaga nagamanikiyam, iaitu batu permata atas kepala seekor ular. Batu permata itu menurut si ibu, berada di tempat yang rahsia dalam rumah mereka dan dijaga rapi oleh ular-ular, termasuklah ular kecil bergelar Kunjutan.

Bertahun-tahun kemudian, apabila Ananda sudah dewasa... Bagi memenuhi permintaan terakhir ibunya yang sudah pun meninggal dunia, Ananda pulang lah ke kampung halaman bagi menyalakan pelita di Shivakavu, iaitu sebuah kuil yang ditujukan kepada dewa Siva. Kuil tersebut kelihatan dari jauh agak menyeramkan dan gelap. Dalam perjalanan pulang ke rumah, dia bertemu dengan Maravi Mathai di atas kereta api. Seorang pengamal ilmu hitam tempatan bernama, Digambara menentang pelita dinyalakan dengan alasan bahawa adalah menjadi kepercayaan penduduk tempatan supaya kuil tersebut berada dalam keadaan kelam sahaja walaupun niat sebenarnya ingin mendapatkan nagamanikyam di kuil tersebut. Ananda yang sebelum ini tidak percaya kepada perkara-perkara ghaib mula menyaksikan perkara-perkara ghaib yang aneh dan pelik dalam hidupnya apabila kembali ke kampung untuk memenuhi wasiat ibunya.

Dalam usahanya untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran kampung tersebut semula, Anada akhirnya berjaya juga memenangi hati penduduk kampung disebabkan sikapnya yang mesra dan ramah. Namun, pemikirannya menjadi kacau sebentar apabila ahli sihir, Digambara mengganggu. Dalam pada itu, sepupu perempuan Ananda bernama Bhadra jatuh cinta pula kepadanya. Selepas bergaul rapat, mereka mula bercinta. Pada satu tahap, Bhadra menghadapi dilema sama ada memilih cinta Ananda atau pun menjadi "Dewi" dalam upacara pengorbanan mistik. 

Shemban, seorang pengamal pertahanan diri yang buta menjadi penghalang kepada usaha Digambara yang tamak untuk membolot nagamanikyam. Ahli sihir jahat itu berjaya menghapuskan Shemban dan meninggalkan jejak darah. Digambara turut menggoda adik perempuan Shemban dan kekasihnya sendiri iaitu, Bhama. Dia menjalankan upacara sihir dengan pergerakan eksotik, pergerakan kathakali, tantra, mantra sihir dengan topeng muka hitam dan merah. Akhirnya, Ananda dan Bhadra berjaya melepaskan diri daripada muslihat Digambara. Mereka juga merungkai konspirasinya di hadapan orang yang yang percaya bahawa Digambara seorang pengamal agama. Berlaku pergelutan antara Ananda dengan Digambara yang mana Digambara tewas. Selepas itu nagamanikiyam diletakkan semula dalam kuil oleh Ananda.

Penulis Asal: Sunil Parameswara      

Khamis, 29 November 2012

Bahasa Bengali

Suasana di satu kawasan di kotaraya Calcutta di Bengal Barat, India
Hari ini aku cuma mempromosikan bahasa Bengali. Selalunya di negara aku, orang ingat Bengali ni adalah sejenis Singh yang memakai serban sepuluh kilo di atas kepalanya. Sebenarnya itu bukan Bengali tapi orang Sikh dari Punjab. Bahasa mereka adalah bahasa Punjabi. Orang Bengali dipanggil sebagai Bangla saja di sini. Bahasa mereka mungkin diiktiraf sebagai bahasa vernakular di negara aku tak lama lagi tapi kebanyakan mereka lebih berbangga menggunakan bahasa Melayu dengan aku, hahaha...

Bahasa Bengali merujuk kepada bahasa orang dari wilayah Barat Bengal di Kolkata di India dan bahasa orang Bangladesh di sebelah timur. Pendek kata, ia adalah rujukan kepada orang di Teluk Bengal. Bahasa ini dituturkan oleh sekitar 220 juta orang, dan sekarang di negara aku pun ada penutur bahasa ini selain daripada mereka yang tinggal di negara-negara Eropah misalnya seperti di England dan di negara Asia Barat. Ia menduduki tempat keempat sebagai bahasa yang paling banyak dituturkan di dunia. Bahasa ini adalah bahasa rasmi di negara Bangladesh manakala di wilayah seperti Tripuram dan Bengal Barat di dalam negara India, ia menjadi bahasa kewilayahan. 

Sejarah Ringkas

Bahasa Bengali berasal dari loghat Prakrit kerajaan Magadha. Kerajaan Magadha merupakan antara 16 kerajaan agung India purba yang dikenali sebagai Mahajanapada. Bahasa Prakrit Magadha menjadi bahasa rasmi semasa pemerintahan maharaja Asoka (272-231 M). Bahasa itu kini dikenali sebagai bahasa Bengali Lama dan ia menjadi bahasa maju pada sekitar 1000 M, bersama dengan tulisan Brahminya tersendiri. Pada ketika itu, bahasa Bengali diwarnai dengan:

1. तात भावा tat bhava atau perkataan bahasa Prakrit
2. तात सामा tat sama iaitu perkataan dari bahasa Sanskrit. 

Kemudian ia diwarnai lagi dengan perkataan bahasa Parsi, Arab dan Turki apabila wilayah Bengal dimasuki oleh pengaruh agama Islam pada sekitar abad ke-12 M. Apabila orang Eropah mula menjajah Asia 400 tahun kemudiannya. Bahasa Bengali pun mula menyerap perkataan tertentu dari bahasa Inggeris, bahasa Portugis, bahasa Belanda dan bahasa Perancis. Aksara Brahmi Bengal moden diselaraskan pada 1778 bagi memudahkan percetakan. Ia diperbaiki sampai nampak seperti sekarang pada abad ke-19 M.

Bahasa Bengali mempunyai tradisi sastera yang kaya dan boleh dikesan sehingga abad pertama Masehi dengan Charyapada yang merupakan manuskrip nyanyian keagamaan Buddha. Manuskrip ini ditemui dalam simpanan keluarga diraja Nepal dan diterbitkan pada 1916. Sehingga abad ke-19 M, sastera Bengali bertulis dalam bentuk seloka dan matram disebabkan oleh pengaruh teks bahasa Sanskrit dan penjajah Eropah. 

Hari ini, bahasa Bengali mempunyai dua bentuk gaya kesusasteraan:

1. शाधू भाषा shadu bhasha atau bahasa tinggi yang digunakan dalam keraian dan kitab-kitab.
2. चलती भाषा chohlti bhasha atau bahasa pasar menurut kepada loghat Kolkata.   

Sasterawan Bengali

Rabindranath Tagore merupakan salah seorang penulis dan sasterawan Bengali yang terkenal. Beliau menulis banyak esei termasuklah dalam jenis novel, puisi, syair dan skrip teater yang melayakkannya menjadi orang Asia pertama yang menerima hadiah nobel keamanan 1913. Penulisan falsafah keagamaannya itu mengangkatnya menjadi seorang pujangga dari peringkat wilayah ke peringkat benua. Beliau menulis lagu kebangsaan negara India dan negara Bangladesh.

Gerakan Melindungi Bahasa Bengali

Pemisahan Bangladesh dengan Pakistan mungkin tidak memberi kesan kepada penyusunan bahasa Bengali, tetapi ia memberi kesan kepada sesiapa yang bercakap dalam bahasa tersebut. Sebelum ini, Bangladesh telah menyertai Pakistan menjadi Pakistan Timur manakala Bengal Barat menyertai India. Banyak sekali pertelingkahan berlaku dalam pada Pakistan memilih bahasa kebangsaan untuk menjadi bahasa rasmi negara. Akhirnya, bahasa Urdu yang dipilih dan diberikan kedudukan rasmi. Hal ini berlawanan di Pakistan Timur kerana mereka majoritinya berbahasa Bengali. 

Akibat hal ini, timbul pergerakan bahasa Bengali yang agak kuat juga di Pakistan Timur bagi melawan ketidakseimbangan ini. Pertelingkahan sampai ke kemuncak pada 21 Februari 1952 apabila pelajar di Universiti Dhaka ditembak mati ketika mengadakan bantahan bagi menyokong bahasa Bengali. Dua tahun kemudian, bahasa Bengali dijadikan sebagai bahasa rasmi Pakistan. Tarikh 21 Februari dijadikan sebagai hari syahid bahasa bagi Bangladesh dan wilayah Bengal Barat dan ia diisytiharkan oleh UNESCO sebagai hari bahasa ibunda sedunia. Pada 1971, berikutan resolusi Perang Pembebasan antara negara Pakistan dengan rakyat Bengali, Bangladesh dibebaskan menjadi negara bangsa sendiri dengan bahasa Bengali sebagai bahasa kebangsaan. 

Untuk tulisan bahasa Bengali tu, aku menggunakan devanagri untuk bahasa Hindi. Aku tak reti tulisan brahmi Bengali. Aku belajar menggunakan tulisan brahmi Hindustan dan brahmi India Selatan.