Tradisi Kesusasteraan Bahasa Avadhi

Pada masa kini sukar ditemui karya sastera dalam bahasa ini. Kebanyakan penutur bahasa ini sudah memilih bahasa Hindustan Barat atau bahasa Urdu sebagai bahasa pertuturan. 

Kini, ia cuma dianggap sebagai sejenis bahasa kecil sahaja dalam bahasa Hindustan. Sebelum penyelarasan bahasa Hindustan terjadi, ia sudah pun menjadi salah satu daripada dua langgam bahasa Hindustan penting dalam sastera. Yang lagi satu itu, bahasa Bhraja. 

Karya terawal bahasa ini ditemui dalam Uktivyakti Prakarana oleh Pendita Damodara yang terkenal sekitar awal kurun ke-12 M. Beliau menulis pustaka itu bagi mengajar bahasa Avadhi menerusi wahana bahasa Avadhi Lama. Bahasa ini turut mempengaruhi Muslim di India dalam penulisan karya-karya mereka walaupun mereka menggunakan tulisan Arab-Parsi.

Penulis agung bahasa Avadhi, Goswami Tulasidasa dilahirkan pada 1523 di Uttar Pradesh turut mengarang karya dalam bahasa ini. Karya agung beliau Ramacaritamanasa dikarang pada 1574 merupakan penyesuaian syair Ramayana dalam bahasa Hindustan Timur. Karya ini ditulis menurut kepada cetera pergerakan Bhakti Vaishnava di India Utara. 

Contoh Ramacaritamanasa pada bahagian Vālmiki menasihati Seri Rama berbunyi, "Rāma swarūpa tumhāra; Bacana agochara buddhipara; Abigata akatha apaara; Neti neti... Nita nita nigama kaha rāma swarūpa tumhāra...." ertinya, "Seri Rama, rupa Mu itu melampaui bulatan kata dan pandangan minda; Melampaui pemahaman, melampaui gambaran dan tanpa batasan; Tidak yang ini, bukan yang itu begitulah gambaran Kau dalam ikatan pustaka suci..."

Tulasidasa turut mengarang karya ketuhanan lain seperti Vinaya Patrika atau Persuratan Sembahyang antara yang terkenal. Yang lain sebagai wahana penyampaian ajaran Hindu Dharma oleh beliau ada dalam bacaan Hanuman Chalisa.