Republik India


India atau nama rasminya, Republik India atau Bhārat Gaarajiya merupakan salah satu negara moden di Asia Selatan. Ia merupakan negara ketujuh yang dikira menurut kawasan mempunyai bilangan penduduk teramai di dunia iaitu melebihi 1.2 billion manusia. 

Ia disempadani oleh Laut Hindi di selatan dan Laut Arab di sebelah Barat Daya, Teluk Bengal di Tenggara dan berkongsi sempadan darat dengan Pakistan di Barat. Sebelah darat di Timur nya pula bersempadan dengan Nepal, Bhutan dan China manakala di Timur Laut, ia bersempadan dengan Myanmar dan Bangladesh di Timurnya. Sebelah Lautan Hindi, India dikelilingi oleh Sri Lanka dan Maldives. Selain itu, kepulauan Andaman dan Nikobar bahagian India berkongsi sempadan kelautan dengan Thailand dan Indonesia.

Wilayah-wilayah dalam India merupakan tapak kepada Tamadun Lembangan Indus dan ia merupakan benua yang pernah mempunyai empayar-empayar agung, pusat perdagangan antarabangsa, serta terkenal dengan kekayaan kebudayaannya dalam liku sejarahnya yang panjang. Empat agama dunia, agama Hindu, agama Buddha, agama Jina dan agama Sikh berasal dari kewilayahan India. Manakala agama Majusi Parsi, agama Nasrani dan agama Islam tiba dalam abad pertama masehi dan turut menyumbang kepada pembentukan kebudayaan pelbagai di rantau itu.   

Ia sedikit demi sedikit dikalahkan dan dibawa masuk ke dalam pentadbiran Syarikat Hindia Timur British sejak awal abad ke-18 masehi dan ditadbir terus dari negara United Kingdom sejak pertengahan abad ke-19 masehi. India mencapai kemerdekaan pada 1947 selepas perjuangan yang ditandai dengan pertahanan ahimsa atau tanpa keganasan yang dipelopori oleh Mahatma Gandhi.

Ekonomi negara India merupakan yang ke-10 terbesar berdasarkan kepada Pengeluaran Kasar Negara (GDP) dan ia merupakan yang ketiga terbesar menurut kepada kesaksamaan kuasa membeli (PPP). Rentetan daripada pembaharuan ekonomi berdasarkan pasaran pada 1991, India menjadi salah satu ekonomi utama yang berkembang pantas. Ia dianggap sebagai negara perindustrian baru. Dalam pada itu, India menghadapi cabaran kemiskinan, buta huruf, rasuah, kekurangan zat makanan, kekurangan penjagaan kesihatan umum dan keganasan.

India merupakan negara bersenjata nuklear dan kuasa serantau, negara yang ketiga terbesar dengan bilangan tentera ramai di dunia dan berkedudukan ketujuh dalam belanja peperangan antara negara bangsa lain. India diperintah menurut sistem pemerintahan republik berperlembagaan dan secara berpusat dengan parlimen. Ia mengandungi 28 wilayah dan tujuh wilayah kesatuan. Negara India bersifat pelbagai, dengan bahasa yang bermacam-macam serta masyarakat yang berbilang kaum. Ia juga merupakan sebuah negara yang mempunyai kekayaan mergasatwa yang dilindungi.

Pemilihan Nama India

Nama India berasal dari perkataan Indus. Ia berasal dari sebutan bahasa Parsi lama iaitu Hindu. Orang Parsi menyebut perkataan Sanskrit Sindhu menjadi Hindu saja. Ia merupakan nama lama kepada sungai di lembangan Indus. Orang Yunani purba merujuk orang Indus sebagai Indoi yang bermaksud orang lembangan Indus.

Istilah mukabuminya pula, ia dirujuk sebagai Bharat. Nama ini diiktiraf dalam Perlembagaan India sebagai nama rasmi India. Ia juga digunakan dalam pelbagai bahasa wilayah di India. Nama ini berasal dari kitab suci Hindu dan merupakan rujukan kepada seorang tokoh lagenda yang pernah menjadi maharaja di India purba.

Hindustan pula berasal dari bahasa Parsi. Ia bermaksud Tanah Hindu. Ia digunakan sebelum tahun 1947 merujuk kepada rantau yang merangkumi Utara India dan Pakistan. Kadang-kadang ia digunakan hanya untuk merujuk seluruh negara India.